Oleh J. Evachel John
((KEMASKINI)) KOTA KINABALU: Ketua warden emosi semasa menafikan semua tuduhan dan kecaman yang dilemparkan di sosial media terhadap pihak sekolah dan dirinya berhubung kejadian yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Azhari Abd Sagap, 31, menegaskan pihak sekolah tidak pernah melindungi pembuli dan pembunuh Zara selama ini.
Azhari berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, yang mewakili pelajar B, C, D dan E, berhubung dakwaan kononnya beliau dan pihak sekolah telah berdiam diri dan cuba untuk melindungi pembuli atau pembunuh Zara.
Beliau berkata sekiranya pihak sekolah mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara, beliau tidak akan menceritakan apa yang berlaku pada malam 15 Julai kepada pegawai polis.
Katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu pada malam 16 Julai sebelum ibu Zara membuat laporan polis kali kedua, sekali gus menolak tanggapan bahawa pihak sekolah cuba menutupi kes tersebut.
“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh zara, saya tidak akan ceritakan apa yang berlaku pada 15 malam itu dengan pegawai polis. Saya maklumkan perkara itu pada 16 Julai malam sebelum ibu Zara membuat laporan polis kali kedua, kalau itu yang kamu anggap kami sekolah cuba menutupi kes ini.
“Saya sendiri yang berurusan dengan polis, apa-apa yang polis minta, siapa-siapa yang polis mahu saya bawa ke IPD Papar saya bawa termasuklah audio Kak M, saya sendiri yang kasi tahu polis siapa Kak M, selepas pihak polis siasat betulkah audio ini. Saya yang beritahu polis siapa kak M ini.
“Saya kena tegaskan di sini, Kak M tu bukan (nama pelajar pertama yang menemui Zara tidak sedarkan diri disebut), kenapa dia yang dikecam. Kenapa dia punya muka yang diviralkan. Pelajar ni budak yang baik, peserta hafazan saya setiap tahun…. bagi saya tuduhan terhadap pelajar ni kejam, hanya kerana dia orang pertama yang jumpa Zara di sana. Kalau tiada pelajar ini, macam mana Zara, mungkin Zara sudah kehilangan nyawa dia sana… Tapi ini dia yang dapat, sama juga macam tindakan saya, ini yang saya dapat dengan apa yang buat,” katanya sambil menangis tidak dapat menahan emosi.
Azhari juga terpaksa berhenti seketika untuk bertenang dan menyambung semula keterangannya walau dalam keadaan sebak.
“Saya yang cuba selamatkan Zara pagi tu, saya cuba bawa Zara ke hospital. Saya yang call 991 untuk ambulans ambil zara. Ambulans sampai saya ikut ambulans balik pergi ke hospital. Saya tunggu sampai ibu Zara sampai. Saya di kecemasan tu sampai petang tidak mandi pun adakah ini yang patut saya terima, adakah patut sekolah terima?,” luahnya.
Sambungnya lagi, beliau meninggalkan ibu Zara dan Zara di hospital kerana mahu berjumpa dengan polis pada 16 Julai.
“Saya tinggalkan ibu Zara sebab mahu berjumpa Inspektor (Insp) Wong di sekolah. Selepas saya berjumpa Insp Wong di sekolah, Insp Wong arahkan saya bagi keterangan di IPD Papar. Balik daripada IPD Papar lepas maghrib dan isyak saya balik ke hospital untuk melawat Zara. Saya tidak pernah terfikir pun untuk tinggalkan ibu Zara pada masa itu. Saya di hospital dekat jam 12 malam baru balik ke sekolah, inikah yang patut saya terima?
“Pada 17 Julai bukan saya tidak mahu datang…. hanya kerana saya mahu bawa (nama pelajar pertama yang menemui Zara disebut), lepas hantar pelajar itu saya datang semula ke hospital untuk tengok keadaan Zara.
“17hb, ada saksi 600 lebih pelajar melihat macam mana saya imamkan solat subuh pada pagi itu. Saya tunggu sampai Zara dicabut mesin, saya tunggu Zara di forensik. Saya ikut solat, sampai ke perkuburan, inikah yang patut saya terima?
“Dari 16hb sampai habis siasatan pihak polis berhubung dengan hal ini, saya dari Papar yang handle sampai Bukit Aman polis berhubung dengan saya, patutkah? Tiada apa yang kami selindung, semua kami beritahu, siapa yang keluar Kak M, Kak C, semua kami dedah. Apa-apa saja, itu tanggungjawab saya, saya tidak mahu Zara ni teraniaya. Tapi itula sekarang ni memang sekolah teraniaya termasuk saya sendiri,” luahnya lagi.
Azhari, yang kelihatan cuba mengawal emosi, berkata dua minggu sebelum kejadian isterinya telah ditukarkan ke sekolah yang sama dengannya selepas mereka tinggal berjauhan sejak tahun 2020. Menurutnya, perpindahan itu sepatutnya membolehkan mereka menjaga anak bersama, namun selepas kes ini berlaku, tumpuan mereka lebih terarah kepada kes tersebut dan anak mereka berada di tempat lain.
“Inikah yang patut kami terima, inikah yang patut saya terima. Saya, keluarga saya dikecam hanya kerana saya pengadu. Memang tidak logik. Saya kenal Zara saya ajar Zara di kelas, saya amat tersentuh sebab ada subjek saya yang Zara sebut dalam diari Zara, idola zara kedua-dua ni saya juga yang ajar.
“Saya pernah pesan di kelas kalau kamu tidak mahu tutup aurat dengan baik, tidak mahu pakai hand sock, kamu humban saja bapa kamu dengan batu, selepas itu Zara pakai hand sock. Saya ingat hand sock Zara warna putih, memang saya ingat.
“Saya tidak tahu apa yang dialami sebenarnya. Saya pun tertanya-tanya, saya pun mahu cari keadilan, tapi dalam mencari keadilan kenapa ancaman ini yang kami dapat,” katanya.
Tanpa henti, Azhari terus meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya.
“Saya tahu apa cerita yang ada dalam diari Zara. Saya baca dan saya tahu macam mana deritanya Zara kalau ditanyakan adakah ini diari betul Zara, sebab itulah apa-apa saja keluar di media sosial pasal Zara saya ambil tahu semua. Audionya saya tahu, saya yang bocorkan kepada polis, kalau kami mahu menutup saya tidak akan dedahkan siapa kak M.
“Untuk makluman cerita kak M berlaku sekitar bulan Mei mengikut siasatan sekolah. Kenapa ibu Zara tidak laporkan kepada sekolah. Itu yang jadi persoalan saya, sebab saya ambil tahu, saya rasa terkesan dengan kehilangan Zara, jadi saya ambil tahu semuanya.
“Kenapa tiada aduan daripada Zara, patut ada aduan dari ibu Zara, tapi tidak ada, Saya sudah minta dari group laman rasmi guru-guru kalau ada, tapi tidak ada, langsung tidak ada,” katanya.