PAPAR : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini susulan peningkatan jumlah penduduk yang terjejas dengan bencana tersebut.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pasukan bantuan telah digerakkan ke Dewan Masyarakat Papar sejak beberapa hari lalu bagi menyokong operasi pemindahan mangsa.
Katanya, Maritim Malaysia turut membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan mengangkut sebuah bot milik agensi itu menggunakan lori Maritim Malaysia dari Kampung Sebandil ke Kampung Pedawan.
Menurutnya, dianggarkan antara 20 hingga 30 mangsa berjaya dipindahkan ke kawasan selamat.
“Sehingga hari ini, seramai 206 mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Papar.
“Pasukan Maritim Malaysia kekal dalam keadaan siapsiaga untuk digerakkan pada bila-bila masa,”katanya.

Khairulanuar berkata, selain bertugas di PPS, anggota Maritim Malaysia turut melakukan pemantauan di Kampung Benoni dan membantu menghantar bekalan makanan ke PPS Lok Kawi Height, Kinarut.
“Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam memberikan bantuan, terutama ketika bencana banjir yang melibatkan keselamatan rakyat.
“Kerjasama rapat dengan agensi lain memastikan setiap pemindahan dan bantuan logistik dapat dilaksanakan segera dan berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memantau perkembangan di Papar dan menyalurkan bantuan sehingga keadaan kembali pulih. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA