Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menangis dan menjerit ‘aku tidak mencuri bah, bodoh’ pada malam sebelum dirinya ditemui tidak sedarkan diri.
Zara dikatakan menangis dan menafikan perbuatan mencuri sebelum kali terakhir dilihat menuju ke tandas.
Perkara itu diceritakan Ketua Warden, Azhari Abd Sagap selepas diminta peguam Shahlan Jufri di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Menurut Azhari, berdasarkan siasatan sekolah selepas mengarahkan warden menyiasat, sebelum kejadian itu seorang pelajar telah mengadu kepada pelajar senior bahawa barang miliknya hilang.
“Selepas itu Zara dipanggil oleh pelajar senior dan ditanya sama ada dia mencuri barang, tetapi dia menafikan serta bersumpah ‘Wallahi’.
“Pelajar-pelajar juga memeriksa almari dan beg Zara, dan menemui pin Jalur Gemilang milik ketua dorm asrama. Dia sekali lagi menafikan perkara itu sebelum kembali ke biliknya sambil menangis.
“Pelajar-pelajar berkata kali terakhir mereka melihat Zara ialah di tandas asrama,” kata Azhari.
Menurut Azhari, selepas siasatan dijalankan, mereka menerima lima ‘Akuan Bertulis’ daripada pelajar.
“Saya menerima salinan akuan bertulis daripada lima pelajar selepas kejadian Zara, dihantar melalui Whatsapp.
“Akuan bertulis itu dibuat selepas saya mengarahkan warden asrama menyiasat perkara tersebut pada 16 Julai, susulan Zara dihantar ke Hospital Queen Elizabeth selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama,” katanya.
Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Azhari berkata dompet yang hilang ditemui di sekolah tetapi tiada wang di dalamnya.
Dompet itu ditemui seorang pelajar senior, pada 15 Julai lalu, namun belum diserahkan kepada pemiliknya pada malam hari yang sama ketika arwah Zara ‘disiasat’ atas dakwaan mencuri.
Azhari berkata tiada laporan kepada warden mengenai kes kecurian yang dikaitkan dengan Zara.
Beliau juga berkata kes seperti itu sepatutnya dilaporkan kepada warden untuk disiasat.
Beliau memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah memberi keterangan kepada polis sebanyak empat atau lima kali.