HomeUtamaZara dialihkan sejauh 20 meter dari lokasi ditemui tidak sedarkan diri –...

Zara dialihkan sejauh 20 meter dari lokasi ditemui tidak sedarkan diri – Saksi

Read Time:2 Minute, 18 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa Ketua Warden telah mengarahkan beberapa pelajar untuk memindahkan Zara Qairina Mahathir ke kawasan rata sejauh 20 meter dari tempat dia ditemui.

Ustaz Azhari Abd Sagap berkata beliau meminta para pelajar bersama pengawal keselamatan, Linah, memindahkan Zara berhampiran rumah warden kerana beliau berhasrat untuk membawa Zara ke hospital menggunakan kenderaannya sendiri.

Azhari yang merupakan saksi ke-8 inkues kematian Zara, mendedahkan perkara ini ketika menjawab soalan daripada pegawai pengendali Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari.

Terdahulu dalam kenyataan saksi yang dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Azhari berkata beliau melihat pelajar tingkatan satu, Zara terbaring melintang di longkang asrama ketika tiba di lokasi pada awal pagi 16 Julai lalu.

“Pada 16 Julai jam lebih kurang 3.04 pagi saya mendapat panggilan daripada pengawal keselamatan yang bertugas pada masa kejadian bernama Linah tentang kejadian yang menimpa Zara.

“Pada jam lebih kurang 3.13 minit pagi, setibanya di bangunan asrama tersebut, saya melihat Zara terbaring meldi longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pada pengamatan saya, saya melihat Zara dalam keadaan bernafas seperti tidur berdengkur.

“Pada masa tersebut yang berada di tempat kejadian ialah saya, pengawal keselamatan Linah, dan lima orang pelajar. Saya kemudiannya meminta mereka mengangkat Zara dari kawasan longkang ke kawasan terlindung yang rata iaitu di atas simen,” katanya.

Azhari berkata semasa Zara dialihkan, beliau melihat kesan darah di bucu longkang dan kesan kecederaan pada bahagian pergelangan kaki Zara.

Seterusnya, beliau membuat panggilan kecemasan dengan mendail 991 untuk mendapatkan bantuan pada jam 3.17 pagi.

“Selepas itu, saya membuat panggilan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid iaitu Cikgu Asnie. Saya seterusnya telah pergi ke rumah pengetua iaitu Ustazah Shaharoom Hashim yang terletak berdekatan dengan asrama untuk memaklumkan kejadian tersebut.

“Saya juga telah cuba menghubungi nombor telefon ibu dan bapa Zara untuk memaklumkan kejadian tetapi tidak berjaya,” katanya.

Azhari berkata dia menghubungi nombor 991 buat kali kedua pada jam 3.47 pagi.

“Zara kemudiannya telah dibawa ke hospital oleh ambulans yang tiba sebelum jam 4 pagi. Pada jam lebih 8.16 pagi, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berhubung kejadian yang berlaku di sekolah.”

Beliau menambah, sepanjang bertugas sebagai ketua warden, Zara tidak pernah membuat sebarang aduan kepadanya mengenai masalah yang dihadapi di asrama.

“Sepanjang menjadi guru Bahasa Arab di kelas tingkatan 1 dan sebagai Ketua Warden Asrama, saya tidak pernah menerima apa-apa aduan daripada Zara berkenaan dengan apa-apa masalah yang dihadapinya di asrama tersebut.”

Azhari merupakan guru Bahasa Arab dan Kelas Khas Kemahiran Al-Quran sejak Jun 2020, dan sejak Februari 2025 beliau turut dilantik sebagai Ketua Warden Asrama yang menyelia bangunan asrama tempat Zara ditempatkan.

Prosiding inkues ditangguhkan untuk makan tengah hari dan bersambung semula pada jam 2 petang.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular