KOTA KINABALU : Perkhidmatan keretapi melibatkan tiga jadual perjalanan, iaitu PU201, PS101 dan PU502 terpaksa dibatalkan hari ini.
Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pembatalan perjalanan itu berikutan beberapa jajaran landasan antara Sembulan dan Beaufort masih ditenggelami air.
Menurut JKNS, antara landasan yang terjejas ialah di KM20 (antara Kinarut–Kawang) apabila formasi batu landasan hanyut akibat banjir.
Selain itu, turut ditenggelami air adalah di KM34 (antara Kawang–Papar) dan KM62 (antara Kimanis–Bongawan) yang ditenggelami air antara dua hingga empat inci di atas rel.
Keadaan itu menyebabkan laluan berkenaan tidak selamat dilalui, sekali gus menjejaskan operasi keretapi.
“Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan alternatif pengangkutan lain ke destinasi masing-masing.
“JKNS memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” menurut kenyataan itu. Chronivo