Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan beberapa diari dan buku latihan milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui guru sekolah sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Ketua warden asrama Azhari Abd Sagap, 31, berkata pada 16 Julai lalu sekitar 11.15 pagi beliau dimaklumkan dua diari berwarna hijau dan ungu dijumpai dalam almari miliki Zara oleh seorang guru, Cikgu Gloria.
“Pada masa tersebut saya berada di Hospital Queen Elizabeth. Saya kemudiannya meminta Cikgu Gloria menyerahkan kedua-dua diari tersebut kepada Cikgu Yuslina,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-8.
Beliau berkata keesokan harinya, 17 Julai, guru lain iaitu Cikgu Miswati menemui satu lagi diari berwarna coklat dan sebuah buku latihan semasa membantu mengemaskan almari Zara di asrama.
Menurut Azhari dia meminta Cikgu Miswati membantu mengemaskan barang-barang Zara di almari dan letakkan di bilik isolasi di Aras 2 Bawah bangunan asrama selepas ibu Zara memaklumkan kepadanya ingin mengambil barang-barang Zara di asrama pada 17 Julai.
Azhari berkata buku-buku itu juga diserahkan kepada Cikgu Yuslina.
“Pada 18.07.2025, jam lebih kurang 8.30 pagi, saya telah bertemu dengan Cikgu Yuslina dan diserahkan 4 buah buku milik Zara kepada saya. Pada tarikh yang sama jam lebih kurang 5 petang, saya telah menyerahkan keempat-empat buku milik Zara tersebut kepada pegawai penyiasat. Saya kemudiannya diminta untuk menandatangani sehelai borang oleh Inspektor Wong,” katanya.
Menurut saksi itu lagi, pada 19 Julai, jam lebih kurang 1 petang, beliau telah diserahkan 15 helaian kertas diari milik Zara oleh Cikgu Yuslina.
“Cikgu Yuslina memaklumkan kepada saya bahawa 15 helaian kertas tersebut ditemui oleh Cikgu Miswati pada jam 8 pagi semasa Cikgu Miswati membuat pemeriksaan di rak buku kelas Zara.
“Saya kemudiannya menyerahkan 15 helaian kertas tersebut kepada Inspektor Wong
pada tarikh yang sama jam 3 petang.
“Saya juga telah menyerahkan dua buku latihan Zara, Bahasa Melayu dan Sains atas permintaan polis,” katanya.