Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dijangka memanggil saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bermula Jumaat ini.
Hakim Mahkamah Seysyen Amir Shah Amir Hassan yang bersidang sebagai koroner berkata, sebaik sahaja saksi kanak-kanak dipanggil, prosiding akan dijalankan secara tertutup (in camera) dan hanya pihak yang terlibat secara langsung akan berada di dalam mahkamah.
“Saya telah berbincang dengan pegawai pengendali dan peguam sebentar tadi untuk menyusun giliran saksi.
Perancangannya ialah keterangan kanak-kanak akan bermula Jumaat ini dan diteruskan sehingga saksi terakhir selesai.
“Prosiding akan dijalankan secara tertutup (in camera), maka hanya pihak terlibat sahaja dibenarkan berada di mahkamah.
Dalam tempoh itu, satu lagi ‘locus in quo’ (lawatan di lokasi kejadian) akan dijalankan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian,” katanya selepas pertemuan dengan pegawai pengendali dan peguam di kamar hakim, pagi tadi.
Inkues yang memasuki hari kelapan hari ini mendengar keterangan saksi ketujuh, pegawai perubatan Forensik Dr Logaraj Ratha, dan saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Azhari Abd Sagap.
Prosiding yang bermula pada 3 September lalu dijangka memanggil sekurang-kurangnya 68 saksi termasuk 35 kanak-kanak.
Pada 16 Julai lalu, pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya dan disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).