SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan tiga nelayan warga Filipina selepas bot yang mereka naiki terbakar berhampiran Pulau Taganak, di sini pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.05 petang apabila KM BANGGI yang dalam pelayaran ke Sandakan mengesan kepulan asap hitam kira-kira lima batu nautika Timur Laut perairan Filipina.
Beliau berkata, pasukan penyelamat segera digerakkan dan pada jam 2.52 petang dan bot sepanjang lima meter diturunkan sebelum menemui tiga mangsa terapung berpaut pada serpihan kayu..

“Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan, namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Mereka dikenal pasti sebagai Hajar Ganih yang cedera di kedua-dua kaki, Adamin (selamat) dan Fattah Asa (meninggal dunia),” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Khairulanuar berkata, salah seorang mangsa memaklumkan lapan lagi kru bot terbabit telah diselamatkan oleh bot tempatan dan dibawa ke Pulau Bakungan Besar.
Selepas itu katanya, KM BANGGI menuju ke Pulau Taganak untuk penyerahan mangsa kepada pihak berkuasa Filipina.
“Proses koordinasi dikendalikan oleh Pegawai Operasi C3i dan Carilamat Maritim Sandakan, Leftenan Muda Maritim Siti Hafifah Hana Mohd Zafli bersama pihak Municipal Disaster Risk Reduction and Management Office (MDRRMO) dan Philippine Navy.
“Pada pukul 6.14 petang, lima anggota Philippine Coast Guard Sub Division Operation Taganak diketuai Ens. Datu Halun menerima tiga mangsa berkenaan daripada KM BANGGI yang diketuai Komander Maritim Mahathir bin Mohammad.
“Penyerahan selesai sepenuhnya pada pukul 6.34 petang dengan lancar dan teratur,” katanya.
Khairulanuar turut berkata, kejadian itu membuktikan kecekapan aset Maritim Malaysia dalam memberi respon pantas terhadap kecemasan maritim.
Menurutnya, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk memastikan keselamatan perairan negara selain memperkukuh kerjasama dengan negara jiran dalam aspek keselamatan dan kemanusiaan. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA