KOTA KINABALU: Pasukan Tindakan Kecemasan KKIP Sdn. Bhd. (KKIPSB ERT) telah menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Penampang malam tadi.
Misi itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KKIP Sdn. Bhd. yang juga penyelaras KKIPSB ERT, Datuk Lawrence Kimkuan, dengan lima kenderaan pasukan berlepas ke lokasi sekitar jam 10.30 malam.
Sebelum penghantaran dibuat, satu pasukan tinjauan awal telah digerakkan bagi mengenal pasti bentuk keperluan segera mangsa di pusat pemindahan.
Bantuan makanan berkenaan disalurkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Paroki, Sacred Heart Inobong di sini yang menempatkan penduduk terjejas akibat banjir sejak petang semalam.
Lawrence berkata pihaknya turut prihatin dengan mangsa-mangsa yang terjejas bencana banjir di negeri ini.
“Dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya.