KENINGAU : Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi jambatan simen di Kampung Nuntunan, Apin-Apin, malam tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam sebelum menghantar sembilan anggota bersama dua jentera, iaitu FRT dan EMRS, ke lokasi sejauh 26 kilometer. Pasukan tiba di lokasi pada jam 10.24 malam.
Menurut saksi, mangsa bersama dua lagi rakan sekerja yang merupakan kakitangan Sabah Electricity (SE) Keningau berada di kawasan itu untuk kerja penyelenggaraan pencawang berhampiran jambatan gantung kampung berkenaan.
“Ketika cuba menyeberangi jambatan simen dalam keadaan hujan lebat, ketiga-tiga mereka terperangkap dalam arus deras.
“Dua berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dipercayai hanyut. Mangsa terakhir dilihat memakai vest Sabah Electricity,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabum
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang dijalankan di sepanjang persisiran sungai dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak meredah sungai atau jambatan ketika hujan lebat atau banjir, kerana arus deras boleh mengancam nyawa walaupun kelihatan cetek.
Dalam pada itu, Sabah Electricity mengesahkan bahawa seorang kakitangan syarikat itu telah terlibat dalam satu insiden semasa bertugas di lapangan pada Selasa.
Pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.
“Keutamaan kami pada ketika ini adalah keselamatan serta kebajikan kakitangan yang terlibat, di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa.
“Sabah Electricity akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam operasi ini dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.
“Kami memohon semua pihak menghormati sensitiviti situasi ini serta memberikan ruang kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar,” menurut kenyataan itu di sini. – Chronivo