HomeUtamaJangan jadikan bencana alam isu politik, bantu rakyat terkesan – Hajiji

Jangan jadikan bencana alam isu politik, bantu rakyat terkesan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Semua pihak digesa mengetepikan perbezaan politik sebaliknya berganding bahu membantu rakyat yang terkesan akibat bencana alam, tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau menegaskan ketika ini kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan memberi tumpuan penuh dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa bencana, termasuk keluarga yang kehilangan ahli keluarga serta rumah kediaman.

“Bubar belum lagi kita fikir. Kita bantu dulu mangsa yang terlibat ini. Ini masa untuk kita tunjukkan bukan batas perbezaan politik. Dalam kita menghadapi musibah, semua rakyat dan agensi kerajaan mesti bekerjasama membantu. Jangan dulu kita fikir politik-politik ini, jangan dijadikan isu,” katanya ketika ditanya mengenai desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17.

Hajiji memberikan kata-kata semangat kepada suami mendiang Emily, Jude Joseph dan anak sulung Jude, Xavier Junior Jude, 17 (kanan).

Hajiji berkata demikian selepas mengadakan lawatan kepada mangsa bencana alam yang ditempatkan di Dewan Raya Tandugal, Kampung Mook, Kinarut di sini hari ini, seterusnya berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Emily Johny, 38 dan mendiang Xarell Myre Jude, 11, mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah baru-baru ini.

Menurut Hajiji, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM10,000 telah diberikan kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia, selain sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah. Bagi rumah yang musnah, sebanyak RM30,000 disalurkan untuk setiap rumah dan setakat ini tiga rumah dilaporkan runtuh dalam kejadian itu di Kg Mook.

“Dari pihak kerajaan negeri dan Persekutuan, kita akan membantu dari segi pengurusan rumah, tanah dan sebagainya. Diharap ia dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mangsa,” jelasnya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga terlibat.

Hajiji turut menyantuni mangsa bencana alam di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini termasuk PPS Dewan Marahang, Papar, Dewan Masyarakat Bongawan dan PPK Salagon , Beaufort.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular