HomeUtamaInkues Zara: Doktor, ketua warden dijangka beri keterangan

Inkues Zara: Doktor, ketua warden dijangka beri keterangan

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang doktor dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (QEH) dijangka memberi keterangan dalam inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang bersambung hari ini.

Shahlan Jufri, salah seorang peguam yang mewakili ibu Zara berkata sekiranya masa mengizinkan, ketua warden asrama juga akan dipanggil selepas Doktor memberi keterangan.

Pendengaran inkues yang bermula pada 3 September lalu kini memasuki hari kelapan, dengan enam saksi setakat ini telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Mereka termasuk pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menjalankan bedah siasat; pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh; Dr Janefer Voo dari Jabatan Kecemasan; Dr Pavankumar Balachandran dari Jabatan Neurosurgeri; Pegawai Penyiasat Tempat Kejadian, Inspektor Maidon Bernadus; dan pengawal keselamatan, Linah Mansoding, yang bertugas pada malam Zara ditemui.

Walaupun Mahkamah Koroner tidak mengeluarkan perintah larangan (gag order), semua pihak termasuk media tetap diingatkan mengenai kewajipan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Sehubungan itu, lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak hanya dirujuk menggunakan inisial A, B, C, D dan E. Nama kanak-kanak lain yang disebut dalam prosiding mahkamah terbuka juga tidak didedahkan oleh media bagi melindungi identiti mereka.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Ogos di luar asrama sekolahnya di Papar, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth sehari kemudian.

Pegawai pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

Pasukan guaman ibu Zara, Noraidah Lamat diwakili oleh Rizwandean M. Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Pasukan guaman ayah Zara, Mahathir Mohd Hashim diwakili oleh Sherzali Hezra Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili remaja A, manakala selebihnya diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Sabah Law Society (SLS) hadir sebagai peguam pemerhati dan amicus curiae (sahabat mahkamah), manakala Kementerian Pendidikan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Dr. Norahimah Fitri, turut bertindak sebagai peguam pemerhati.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular