Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara walaupun penerangan telah diberikan.
Saksi ke-7 dalam inkues kematian Zara, Pegawai Perubatan Forensik Dr. Logaraj Ratha, 33, berkata memandangkan tiada perkara dibangkitkan, pihak hospital telah menyerahkan jenazah Zara kepada ibunya, Noraidah Lamat mengikut polisi hospital dan jabatan.
“Selepas mendapat keputusan enggan bedah siasat daripada pihak waris, saya telah menyerahkan Surat Akuan Enggan bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri kepada Noraidah. Saya menjelaskan kandungan surat tersebut serta bahagian-bahagian yang perlu diisi.
“Saya turut menerangkan bahawa tanpa bedah siasat, pihak waris tidak akan dapat membuat sebarang tuntutan atau mendapatkan laporan bedah siasat rasmi berhubung punca kematian pada masa hadapan daripada Jabatan Perubatan Forensik hospital,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr. Logaraj berkata Noraidah telah mengisi di bahagian perenggan pertama dan butiran bahagian tandatangan pengenal/penuntut mayat di dalam surat tersebut, manakala kakak iparnya, Nur Shira Abdullah juga telah mengisi butiran sendiri di bahagian saksi dan menandatangani surat tersebut.
“Saya telah menandatangani surat tersebut sebagai doktor yang mengendalikan kes ini. Noraidah mengesahkan bahawa beliau memahami penjelasan dan kandungan surat yang telah diisi dan ditandatangani,” katanya.
Menurut Dr. Logaraj, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat Inspektor Inspektor Wong Yew Zhung bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat dan pihak hospital boleh menyerahkan jenazah Zara kepada keluarganya tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.
Bagi pelepasan jenazah, Dr. Logaraj berkata beliau telah menerima surat pelepasan atau kebenaran penyerahan jenazah daripada Inspektor Wong agar jenazah Zara diserahkan kepada Puan Noraida tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal.
“Saya kemudian berjumpa dengan ibu kandung Zara iaitu Noraidah dan seorang ahli keluarga, Nur Shira Abdullah iaitu kakak ipar kepada Noraidah. Saya memaklumkan kepada Noraidah bahawa pihak polis tidak mengeluarkan borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat.
“Kemudian, saya cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian Zara. Saya juga telah menerangkan kepada Noraida dan disaksi oleh Shira, mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat.
“Walaupun borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal sebenarnya masih boleh dijalankan tetapi tertakluk dengan kebenaran waris terdekat.
“Walau bagaimanapun, pihak waris, Puan Noraida membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara, walaupun penerangan telah diberikan,” katanya.
Terdahulu, Dr. Logaraj menjelaskan pada tarikh 17 Julai, jam 5 petang, beliau telah dimaklumkan tentang satu kematian di Wad Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth yang melibatkan siasatan pihak polis.
Jenazah tersebut dikenali sebagai Zara kemudiannya telah dibawa dari Wad Neurosurgeri ke Jabatan Perubatan Forensik.
Katanya, salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Perubatan Forensik adalah perkhidmatan mortuari.
“Skop perkhidmatan ini termasuk pengambilan, pendaftaran, penyimpanan, dan penyerahan jenazah daripada wad atau Jabatan Kecemasan dan Trauma kepada waris.
“Semua kematian di dalam Hospital Queen Elizabeth perlu melalui Jabatan Perubatan Forensik sebelum diserahkan kepada waris, selaras dengan polisi operasi Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth serta Standard Operating Procedure of Forensic Medicine Services Malaysia,” katanya.
Dr. Logaraj berkata memandangkan kes ini melibatkan siasatan polis, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Pakar Patologi Forensik yang bertugas pada masa itu, iaitu Dr. Ding Chee Swan.
Beliau juga telah menghubungi Pegawai Penyiasat Polis bagi kes ini, Inspektor Wong daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar.
“Inspektor Wong memaklumkan bahawa beliau telah berjumpa dengan Dr. Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Neurosurgeri.
“Dr. Pavankumar mengesahkan bahawa punca kematian Zara adalah akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.
“Inspektor Wong turut memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan pegawai atasan sebelum memberi maklum balas lanjut,” katanya.