SIPITANG : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob hari ini meninjau kawasan terjejas banjir dan menyantuni mangsa-mangsa terlibat di daerah ini selepas daerah itu diisytiharkan kawasan bencana banjir oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M Zahari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sipitang.

Mereka melawat Pusat Pemindahan Sementera (PPS) Dewan Mini Mesapol, salah sebuah PPS yang dibuka di Sipitang.
Sebuah lagi PPS di Dewan SK Padang Berempah yang sehingga jam 4 petang terdapat 21 Ketua Isi Rumah membabitkan 81 orang di dua PPS itu dengan 19 kampung terjejas banjir.
Antara kawasan terjejas banjir dilawati Dr Yusof adalah di Kampung Mesapol Lama, Kalamauh dan Babangkong serta menyerahkan bantuan air minuman dan makanan.

Turut dilawati kejadian tanah runtuh di kawasan belakang rumah Ketua Kampung Melalia KK Abu Bakar Yusof.
Ketika ditemui media, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diaktifkan sebaik saja Sipitang diisytiharkan antara kawasan bencana banjir di Sabah hari ini dan dua PPS telah dibuka.
Beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan terjejas banjir supaya berwaspada dan menjaga keselamatan serta berpindah ke PPS jika mendapat arahan daripada pasukan keselamatan.
Pada masa sama, beliau meminta pasukan keselamatan memantau di kampung-kampung yang terjejas banjir khususnya berdekatan dua sungai besar di Sipitang iaitu Sungai Lukutan dan Sungai Mengalong.