HomeUtamaSuami redha kehilangan isteri dan anak dalam tragedi tanah runtuh di Kg...

Suami redha kehilangan isteri dan anak dalam tragedi tanah runtuh di Kg Mook

Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: “Kalau saya boleh ulang masa itu, saya akan terus berada di situ dan berusaha untuk menyelamatkan mereka…” luah penuh penyesalan Jude Joseph, 48, selepas kehilangan isteri dan anak bongsunya dalam tragedi tanah runtuh di Kampung (Kg) Mook.

Menurut Jude, kejadian berlaku terlalu pantas, kira-kira jam 8 pagi Isnin (15 Sept), ketika dia bangun awal untuk mencuci pakaian manakala isteri dan anak bongsunya, Emily Johnny, 38 dan Xarell Myre Aristhotle, 11, masih tidur kerana hari cuti.
Anak sulung pasangan itu, Xavier Junior Jude, 17, berada di bilik sebelah.

Jude yang ketika itu berada di ruang tamu berkata dia terdengar bunyi seperti runtuhan dari bilik isterinya.

“Saya pergi ke biliknya tetapi tidak dapat masuk sebab runtuhan sudah menutup kesemua ruang. Saya cuba masuk melalui bumbung tapi tidak boleh kerana saya nampak kereta Bezza saya pun terangkat ke atas bumbung. Saya tak dapat buat apa-apa, saya rasa mati akal dan akhirnya saya hanya berserah,” kata Jude ketika ditemui pemberita semasa upacara penghormatan terakhir untuk isteri dan anaknya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Raya Tandugal, Kg Mook di sini, hari ini.

Jude menceritakan saat-saat cemas ketika cuba mencari bantuan, menurutnya, pertolongan awal hanya datang daripada beberapa penduduk kampung yang berhampiran.

“Pada masa itu, saya masih dengar suara anak saya… dia tersedak-sedak dalam runtuhan lepas itu senyap. Saya sanggup bayar berapa saja kalau ada jentera yang cepat datang. Saya menyerah kalah sebab kudrat saya tak kuat,” tambah Jude, menahan sebak.

Jude dan anak sulungnya Xavier semasa upacara penghormatan terakhir untuk mendiang isteri dan anak bongsunya di Dewan Raya Tandugal Kg Mook.

Jude berkata dia turut mengalami kecederaan ringan kakinya tersepit semasa cuba menyelamatkan isteri dan anaknya tetapi sempat keluar untuk menyelamatkan diri bersama anak sulung mereka.

Dia mengakui menyesal kerana beredar dari lokasi sebenar ketika bimbang keselamatan diri, tetapi menegaskan perasaan sedih kerana tidak sempat menyelamatkan isteri dan anak bongsunya namun redha dengan ketentuan takdir.

Terdahulu, pada masa sama kejadian, pasukan bomba berjaya menemui isteri dan anak bongsu Jude dalam runtuhan tanah itu pada jam 10.48 pagi namun kedua-duanya disahkan meninggal oleh Pegawai Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi berkenaan.

Emily, difahamkan seorang kakitangan kerajaan sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

Manakala Jude, yang bekerja sendiri sebagai pengurus jenazah, berkata dia sendiri menguruskan pengurusan jenazah isteri dan anaknya.

“Saya sendiri memandikan jenazah mereka malam tadi dan mendapati banyak batu di dalam mulut anak bongsu saya, manakala wajah isteri kelihatan seperti lemas,” katanya dengan linangan air mata.

Jude berkata kejadian runtuhan ini adalah kali pertama sejak mereka tinggal di situ.

“Kami tinggal di tepi bukit tetapi rumah saya tak pernah runtuh sebelum ini; runtuhan datang dari atas kira-kira 200 meter dari kediaman kami.

“Rumah mertua dan ipar saya bersebelahan rumah saya juga turut ranap dalam runtuhan itu,” katanya.

Sementara itu komuniti setempat turut menghulurkan bantuan dan mengadakan upacara penghormatan terakhir sebelum pengebumian dijalankan esok.

“Esok kami akan kebumikan kedua-dua jenazah di tanah perkuburan Kg Mook, berdekatan dengan keluarga isteri,” ujar Jude lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular