LABUAN : Seorang peruncit luar bandar di sini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati menggunakan alat timbang yang tidak ditentusah bagi tujuan perdagangan.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata, kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71], yang memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana peniaga yang gagal memastikan alat timbangan mereka sah dan tepat.
Katanya, pemeriksaan itu dilakukan melalui operasi khas “Kita Gempur” yang dijalankan oleh sepasukan lima anggota penguat kuasa Kementerian yang bertujuan memantau kepatuhan perniagaan di kawasan luar bandar.

“Tindakan ini juga diambil hasil aduan orang awam yang meminta agar pemeriksaan diperluaskan ke kawasan kampung, khususnya kedai runcit dan mini market yang menjadi tumpuan pembelian harian penduduk setempat.
“Penggunaan alat timbang yang tidak disahkan memberi risiko kepada pengguna dari segi kuantiti yang tidak tepat serta melanggar hak pembeli dalam transaksi jual beli,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Junaidah berkata, pemeriksaan terhadap 56 premis lain mendapati bekalan barangan kawalan mencukupi, harga kawalan dipatuhi, dan peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan kementerian.
Katanya, KPDN Labuan menegaskan bahawa peniaga wajib menentusah semula alat timbang dan sukat bagi memastikan ketepatan sukatan serta melindungi kepentingan pengguna.
“Kementerian juga menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang perdagangan di kawasan masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya secara rasmi kepada KPDN untuk tindakan lanjut melalui saluran yang disediakan,” katanya. – Chronivo / FOTO KPDN LABUAN