HomeUtamaKerjasama agensi Kerajaan tingkat keberkesanan PPS - James Ratib

Kerjasama agensi Kerajaan tingkat keberkesanan PPS – James Ratib

Read Time:1 Minute, 52 Second

PENAMPANG: Kecekapan dan komitmen agensi-agensi Kerajaan dalam menguruskan mangsa banjir di Sabah terus mendapat pujian dan penghargaan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, beliau menyatakan rasa puas hati dengan tindakan pantas dan berkesan semua pihak yang terlibat.

Katanya, ia termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah; pihak berkuasa tempatan (PBT), dan agensi keselamatan.

“Setakat ini kita ckup puas hati, Tun (Musa Aman) pun puas hati di atas kecekapan pegawai-pegawai sama ada dari JKM; JPN; PBT dan pihak keselamat, memang kita sangat puas hati, mereka bertindak pantas.

“Cuma apakan daya ini kuasa tuhan, malapetaka yang melanda ini orang kata kita susah mahu tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan meninjau Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang di sini pada Selasa.

Terdahulu, James turut mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman ke PPS Meruntum Putatan dan PPS Tuavon.

Menurut James, setiap keluarga di PPS menerima kelengkapan asas seperti makanan, selimut, bantal dan barangan keperluan harian.

Beliau juga mengakui terdapat peningkatan ketara dalam aspek pengurusan berbanding sebelum ini.

“Kalau dulu, ada mangsa terpaksa tidur tanpa bantal atau selimut. Hari ini, kita ucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan kerana telah membekalkan semua keperluan asas kepada penghuni PPS yang terkesan,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan lagi keberkesanan operasi, beliau mencadangkan agar lebih ramai kakitangan sukarela atau pegawai sementara ditugaskan di setiap PPS bagi menampung kekurangan sedia ada.

Mengulas mengenai sumbangan kepada mangsa, James berkata, kementeriannya menerima banyak bantuan daripada NGO dan menyalurkannya secara terus kepada penghuni PPS.

“Ada sumbangan yang datang dengan nama, ada yang tanpa nama. Tapi kita terima semuanya dan salurkan kepada mangsa. Ini semua hasil kerjasama erat antara NGO dan kementerian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua makanan sumbangan seperti roti akan diperiksa terlebih dahulu oleh Jabatan Kesihatan sebelum diedarkan kepada mangsa, bagi menjamin keselamatan dan kebersihan.

Dalam pada itu, James berkata, setakat ini, sebanyak 1,500 kit pengurusan bencana telah diagihkan di seluruh PPS sejak dua tahun lalu yang merangkumi pelbagai keperluan penting untuk mangsa yang ditempatkan sementara akibat bencana alam.

“Apa yang penting, semua agensi bekerja sebagai satu pasukan. Walaupun bencana ini di luar jangkaan, kita berusaha sebaik mungkin untuk bantu mangsa,” katanya. – Chronivo / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular