HomeUtamaKeperluan bina PPK di Membakut perlu dilaksanakan

Keperluan bina PPK di Membakut perlu dilaksanakan

Read Time:1 Minute, 34 Second

MEMBAKUT : Sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Membakut perlu dibina dan dilaksanakan berikutan daerah itu sering dilanda bencana banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kemudahan itu penting agar mangsa yang terjejas banjir tidak lagi perlu menumpang di sekolah atau dewan yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Kita berharap di Membakut ini akan dibina sebuah PPS yang tetap, yang kekal ertinya bukan menumpang di sekolah, di dewan tetapi di tempat yang kekal seperti mana di Beaufort, di Selagon.

“Membakut perlu kerana daerah ini juga sering dilanda banjir dan saya harap perkara ini akan dapat dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan dan menyantuni mangsa terjejas di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Pei Yin di sini pada Isnin.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, lokasi tapak bagi pembinaan PPK berkenaan telah dikenal pasti berhampiran Pekan Membakut.

“Kawasan PPK ini kita akan letakkan di Pekan Membakut dan sudah kita kenal pasti lokasinya dan hanya menunggu daripada pihak berkenaan Ini permohonan daripada Membakut.

“Seperti mana juga permohonan daripada Beaufort,  Membakut perlu kerana kawasan kita sering dilanda banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, seramai lebih 200 mangsa banjir daripada 60 keluarga kini ditempatkan di PPS berkenaan selepas hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, sekolah yang dijadikan PPS ketika ini telah menampung keluarga terjejas dan dijangka lebih ramai akan dipindahkan dari kampung berhampiran pekan Membakut.

“Saya berterima kasih kepada guru besar, kerana memberikan ruang untuk menempatkan mangsa banjir. Harapan kita agar mereka selesa, bersabar dan keadaan segera pulih,” katanya.

Beliau menjelaskan, setakat ini terdapat empat PPS dibuka di Membakut dan sebuah lagi lokasi tambahan sedang dikenal pasti sekiranya berlaku pertambahan mangsa.

“Selain sekolah, dewan kesenian kini sedang dibaik pulih manakala sekolah menengah juga dikenal pasti sebagai lokasi alternatif. Kita bersedia menambah ruang penempatan jika keadaan memerlukan,” katanya.- Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular