KOTA KINABALU : Penduduk di kawasan timur Sabah dinasihatkan agar berwaspada berikutan ramalan cuaca signifikan yang menunjukkan kemungkinan ribut petir dan hujan lebat berterusan sehingga 18 September ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpuan angin yang dikesan menerusi analisis model-model cuaca terkini dijangka terus berlaku di kawasan tersebut dalam beberapa hari akan datang.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir disertai hujan lebat dalam jangka masa yang lebih panjang, terutamanya di kawasan timur negeri Sabah,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.
Orang awam diingatkan agar sentiasa peka terhadap perkembangan terkini cuaca, khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko seperti di sekitar Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Sandakan.
Selain itu, orang ramai digesa merujuk ramalan dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia di www.met.gov.my; media sosial rasmi MET Malaysia dan aplikasi mudah alih myCuaca, yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play. – Chronivo