Oleh Erdie Ab Wahid
BONGAWAN : Sepasang pengantin yang bersanding ketika kawasan rumah di Kampung Nyaris-Nyaris di sini dilanda banjir pada Ahad lalu, namun ia memberi memori ‘terindah’ dan pengalaman berharga buat mereka.
Nur Farah Hidayah Binti Ag Chuchu @ Abidin,26, dan suaminya Mohd Aizat Amiruddin Ismail,29, mengakui sedih dengan kejadian yang berlaku namun tetap terharu dengan kehadiran keluarga dan tetamu.

“Saya rasa sedih juga sebenarnya, sebab majlis tidak berjalan seperti dirancang, tapi ada juga rasa terharu apabila ramai tetamu yang hadir. Ada keluarga dari Brunei, Sandakan, Semporna, mereka semua sanggup meredah banjir.
“Sebenarnya air banjir mula naik pada jam 7 pagi semasa majlis berjalan Ahad lalu dan ia hanya pada paras buku lali dan kira-kira jam 9 atau 10 pagi, air telah mencecah paras lutut. Tiada pilihan majlis sanding tetap dijalankan pada jam 11 pagi.
“Saya pada mulanya tidak tahu banjir sebab pada masa itu saya berada didalam bilik sedang bersolek, apabila sudah siap barulah keluarga maklumkan, memang terkejut dan tidak percaya bersanding ketika banjir.

“Tetapi bagi saya ini kenangan terindah seumur hidup untuk saya dan suami,” kanya ketika dihubungi Chronivo di sini pada Isnin.
Ditanya mengenai majlis ketika situasi banjir pada ketika itu, Nur Farah berkata, keadaan menjadi sedikit kelam kabut dimana keluarga terpaksa mengangkat barang-barang rumah untuk diselamatkan.
Katanya, beberapa program yang dirancang termasuklah majlis memotong kek terpaksa dibatalkan berikutan paras air hampir mencecah ke pelamin.
Menurutnya, pelamin persandingan yang terletak di perkarangan rumah lebih awal dipasang berikutan majlis nikah dan berinai berlangsung pada Sabtu lalu.
“Sejam selepas majlis persandingan, kira-kira jam 12 tengah hari, paras air telah naik ke pelamin menyebabkan karpet pelamin basah dan segera dibuka. Meja bagi meletakkan kek dan peralatan lain turut basah,” katanya.
Meskipun sasaran jemputan tetamu hampir 1,000 orang, Nur Farah berkata, ruang rumah ditingkat satu terpaksa digunakan bagi memberi keselesaan kepada tetamu yang hadir.
“Alhamdulillah ramai yang datang, kami terpaksa menggunakan ruang ruang ditingkat atas, boleh dikatakan penuh sehingga dapur, jika tidak banjir sebenarnya lagi ramai.
“Makanan pula dihidang seperti biasa, ada tujuh menu termasuklah aiskrim dan air balang dihidang ‘diatas’ air. Manakala ‘dessert’ pula kami bagi terus kepada tetamu,” katanya. – Chronivo