BEAUFORT : Sebanyak 42 kampung di daerah ini terjejas banjir dengan 35 kampung dilaporkan terputus hubungan selepas paras air terus meningkat sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, keadaan paling kritikal berlaku di kawasan Jalan Bintuka-Gadong, Suasa dan Bangkalalak yang kini tidak lagi boleh dilalui kenderaan biasa.
“Sehingga 9 September lalu, kita telah pun nemindahkan penduduk dari Kampung Suasa, Bangkalalak dan kawasan sekitarnya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Hari ini sudah seminggu mereka berada di PPS kerana banjir berterusan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau beberapa kawasan yang dilanda banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya segera menyalurkan bantuan bakul makanan kepada mangsa yang terputus hubungan.
“Rakyat kini berdepan kesusahan, jadi kita perlu ambil langkah segera. Kita juga menyeru semua masyarakat untuk sentiasa berwaspada kerana cuaca tidak menentu dan paras air berpotensi terus meningkat,” katanya.
Ruslan berkata, banjir yang melanda bukan sahaja akibat limpahan Sungai Padas, tetapi turut dipengaruhi faktor air pasang surut laut yang menyebabkan air lambat surut.
Beliau menambah, pihaknya sedang mempertimbangkan keperluan menempatkan bot kecemasan untuk membawa pesakit ke hospital memandangkan jalan darat tidak lagi selamat digunakan.
“Di beberapa kawasan seperti Jalan Suasa dan Bangkalalak, kenderaan lori tinggi atau bot masih boleh digunakan untuk urusan kecemasan.
“Tetapi kita perlu kesiapsiagaan sepenuhnya kerana banjir dijangka berpanjangan,” katanya. – Chronivo