KOTA KINABALU: Tujuh mangsa termasuk empat kanak-kanak maut manakala empat lagi terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Kampung Cenderakasih, di sini pagi Isnin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 10.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama Unit K9 bergegas ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 10.24 pagi, didapati berlaku tanah runtuh menghempap sebuah rumah yang melibatkan seramai 11 mangsa. Empat mangsa berjaya keluar dengan selamat, tujuh lagi ditemui meninggal dunia termasuk empat kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang maut terdiri daripada seorang wanita berusia 40 tahun, seorang lelaki (50), seorang wanita (24), serta empat kanak-kanak berusia dua, empat, tujuh dan sembilan tahun.
Seorang lelaki berusia 20 tahun cedera di bahagian paha, manakala tiga remaja lelaki berusia 15, 16 dan 18 tahun terselamat tanpa kecederaan.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi dikawal pada jam 3.43 petang dan ditamatkan tiga minit kemudian, namun pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa.
LINK BERITA TERDAHULU: