Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Tindakan menggantung pelajar terbabit kes buli di sebuah asrama sekolah yang telah dilaporkan kepada polis didakwa bercanggah dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Peguam, Nurshalilah Fauzan Mailin, yang mewakili keluarga mangsa, berkata hukuman itu tidak selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan yang berkuat kuasa sejak 3 November 2023.
Menurut beliau, garis panduan itu memperuntukkan bahawa tiada tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap pelajar yang disiasat polis sehingga siasatan selesai.
“Saya merujuk kepada kenyataan rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bertarikh 14 September 2025 yang memaklumkan bahawa pelajar yang terlibat dengan tindakan buli di atas telah dihukum gantung sekolah oleh pihak sekolah.
“Saya menyatakan tindakan hukuman tersebut adalah bercanggah dengan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan yang dilaksanakan oleh KPM bermula 3 November 2023.
“Menurut tatacara pengendalian kes salah laku buli yang dinyatakan dalam garis panduan tersebut yang mana kes telah dilaporkan kepada polis, tiada tindakan disiplin boleh dikenakan kepada pelajar berkenaan semasa proses siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nurshalilah berkata, mangsa yang merupakan seorang pelajar tingkatan dua mendakwa telah ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung pada 7 September 2025 di sebuah asrama sekolah.
Keluarga mangsa telah membuat laporan polis pertama pada 9 September 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan laporan polis kedua pada 13 September 2025 di IPD Kota Kinabalu.
“Secara asasnya, tindakan pelajar berkenaan perlu disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Nurshalilah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat laporan polis berkenaan di bawah peruntukan tersebut serta berharap JPNS mematuhi garis panduan KPM dalam menguruskan kes buli.
“Saya menggesa PDRM menyiasat dua laporan polis tersebut di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan dan saya berharap agar JPNS mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan terhadapnya berkaitan buli,” katanya.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, dalam satu kenyataan media mendedahkan pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
Hukuman gantung sekolah telah dikenakan kepada murid yang terlibat dan turut dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/09/14/murid-terlibat-kes-buli-digantung-sekolah-serta-merta/