UCAPAN Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam program Jelajah Sabah Bersama MADANI di Sandakan baru-baru ini mencerminkan satu hakikat iaitu rakyat Sabah tidak lagi mengharapkan retorik semata-mata, sebaliknya menuntut penyelesaian terhadap isu yang membelenggu mereka sejak sekian lama.
Dalam ucapannya, Nurul Izzah menegaskan keperluan Sabah memiliki pemimpin berwawasan untuk menangani isu berakar umbi seperti pembangunan sektor, infrastruktur, kewarganegaraan serta legasi pemerintahan terdahulu.
Beliau turut menyentuh cabaran asas yang masih menjadi realiti rakyat negeri ini jalan raya yang terbengkalai, bekalan air tidak menentu, akses pendidikan terbatas dan isu kewarganegaraan yang berlarutan.
Namun persoalan yang terus berulang ialah mengenai hak Sabah menerima kembali 40 peratus hasil kutipan Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan. Sekiranya janji ini ditunaikan dengan ikhlas, sebahagian besar masalah berkenaan dapat diringankan dalam masa lebih singkat.
Hak itu bukan tuntutan baharu. Kerajaan negeri telah berulang kali mengingatkan Putrajaya agar menunaikannya, namun sehingga kini ia masih tergantung. Walaupun pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menunjukkan kemajuan, isu utama yang paling ditunggu rakyat Sabah tetaplah jelas iaitu pengembalian hasil tersebut.
Bagi rakyat Sabah, harapan mereka sederhana untuk melihat pemimpin yang bukan sahaja bersuara, tetapi berani memperjuangkan hak yang termaktub. Hanya dengan langkah itu, barulah politik benar-benar membawa makna kepada rakyat di bawah bayu. – Editorial Chronivo