HomeUtamaRakyat Malaysia diseru kekalkan perpaduan, hormati keperlbagaian kaum, budaya dan agama

Rakyat Malaysia diseru kekalkan perpaduan, hormati keperlbagaian kaum, budaya dan agama

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menyeru rakyat Malaysia untuk terus memelihara perpaduan serta menghormati kepelbagaian kaum, budaya dan agama demi menjadikan negara lebih kukuh serta harmoni.

Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Malaysia ke-62, Tun Musa menegaskan bahawa Malaysia lahir daripada semangat persefahaman dan visi bersama sejak 16 September 1963, hasil penyatuan Malaya, Sabah dan Sarawak.

“Malaysia dikurniakan kepelbagaian yang kaya. Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya kekuatan yang menyatukan kita. Perpaduan adalah asas yang membolehkan Malaysia kekal stabil dan terus maju,” katanya.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam pembentukan serta pembangunan negara, termasuk menyumbang kepada kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi dan kepelbagaian budaya.

Namun katanya, masih banyak usaha diperlukan khususnya di Sabah untuk mengurangkan jurang ekonomi dan memastikan pembangunan sampai ke seluruh negeri agar tiada rakyat yang tertinggal.

“Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh,” tambahnya.

Tun Musa turut mengingatkan bahawa tiada ruang untuk sikap fanatik perkauman atau agama dalam negara ini sekiranya rakyat ingin maju bersama.

Katanya, Sabah sendiri menjadi contoh teladan kepada keharmonian dengan masyarakat berbilang kaum dan agama hidup aman serta saling menghormati.

Beliau turut menyeru para pemimpin supaya tidak mengejar keuntungan politik dengan menimbulkan perpecahan, sebaliknya memberi tumpuan kepada idea bernas, penyelesaian praktikal dan dasar yang memperkasa rakyat.

Dalam pada itu, beliau dan Toh Puan turut menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa banjir serta tanah runtuh di Sabah akibat hujan berterusan yang meragut nyawa dan merosakkan kediaman, perniagaan serta infrastruktur.

“Dalam masa yang sukar ini, saya menyeru komuniti yang terjejas agar sentiasa berhati-hati, berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa. Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan melalui semangat ketabahan dan gotong-royong,” katanya.

Mengakhiri perutusannya, Tun Musa menegaskan bahawa Hari Malaysia adalah masa untuk memperbaharui komitmen terhadap solidariti, keadilan dan kemakmuran.

“Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah. Selamat Hari Malaysia,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular