Kota Kinabalu : Jumlah mangsa terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 804 orang melibatkan 209 keluarga kini berlindung di lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan satu Pusat Penempatan Kekal (PPK) setakat jam 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa terjejas adalah melibatkan daerah Beaufort; Penampang dan Membakut.
Manakala daerah Papar dan Putatan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pagi tadi masih dalam proses kemaskini jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS yang diaktifkan.
Penampang merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 425 mangsa melibatkan 100 keluarga dipindahkan ke empat buah PPS yang diaktifkan.
Antara PPS yang diaktifkan di daerah itu adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul Kolopis; Dewan Huguan Siou; Kompleks Sukan Penampang dan Dewan Ramayah.
Manakala di Membakut yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pagi tadi kini merekodkan seramai 202 mangsa melibatkan 54 keluarga yang kini dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Bongawan.
Di Beaufort pula, seramai 177 mangsa melibatkan 55 keluarga masih berlindung di PPK Selagon.
Dua PPS di Penampang iaitu PPS Kampung Sarapung dan PPS Dewan Inobong masih dalam proses pendaftaran mangsa yang dipindahkan. – Chronivo / FOTO APM