PAPAR: Dua mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Mook, di sini pagi Isnin.
Kejadian dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi yang menyebabkan struktur tanah di kawasan berbukit menjadi tidak stabil.
Mwnurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.02 pagi menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bersama Unit Storm dikerahkan ke lokasi sejauh 35 kilometer.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.48 pagi dan berjaya mengeluarkan dua mangsa yang tertimbus. Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Mangsa yang terlibat ialah seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 petang dengan pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan.