SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diteruskan bagi mengesan seorang anggota tentera, Prebet (Pbt) Muhammad Zulkarnain Jaffar dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), yang dilaporkan hilang sejak 12 September lalu ketika bertugas dalam Operasi PASIR di perairan Pulau Mataking.

Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencarian hari kedua meliputi kawasan seluas 108 batu nautika persegi yang dibahagi kepada 15 sektor.
Operasi disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta ATB 2 sendiri.
Antara aset yang digerakkan ialah kapal KD Sri Johor, bot perintas serta pesawat EC725 dan CN235 MSA.
“Keadaan laut berombak antara 0.5 hingga satu meter dengan angin timur tenggara 10 hingga 20 kilometer sejam, namun operasi tetap dijalankan secara giat pada siang dan malam,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, jenazah seorang lagi anggota tentera, Pbt Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, yang ditemui dalam operasi berkenaan telah diserahkan kepada keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Toh Puan Rahmah, Kampung Kuala Pari Tengah, Ipoh pada tengah malam tadi. Urusan pengebumian dilaksanakan oleh 5 RAMD.
ATB 2 turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha pencarian sehingga Pbt Muhammad Zulkarnain ditemui.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.