Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Murid yang terlibat dalam kes buli baru-baru ini di sebuah sekolah di Sabah dikenakan tindakan gantung sekolah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
Selain hukuman gantung, Raisin dalam satu kenyataan hari ini berkata, murid terlibat juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi.
“JPNS mengambil perhatian serius kejadian salah laku buli yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah baru-baru ini.
“JPNS tidak berkompromi dengan salah laku buli dan akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid-murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Limauan, Kinarut, menjadi mangsa buli oleh pelajar senior dipercayai kerana lambat masuk ke bilik asrama dalam kejadian pada malam 7 September lalu.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September.
Ibu mangsa dikatakan membuat laporan selepas dimaklumkan oleh seorang guru sekolah berhubung kejadian tersebut.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata satu lagi laporan polis dibuat di IPD Kota Kinabalu kelmarin (Sabru) apabila anak guamnya merasakan terdapat usaha untuk menyelesaikan kes itu secara baik antara ibu bapa pelajar yang membuli dengan anak guamnya.
Terdahulu, Nurshalilah menjelaskan kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku pada jam 11 malam, 7 September lalu, di dalam kawasan sekolah berkenaan.
Katanya, mangsa, seorang pelajar lelaki, mendakwa ditendang di perut, ditampar di pipi dan ditumbuk di hidung oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.
Peguam itu turut mendedahkan mangsa juga diarahkan untuk menggosok baju oleh seorang pelajar tingkatan tiga sekolah sama. – Chronivo