HomeUtamaMenara tumbang akibat tanah runtuh, bekalan elektrik Pantai Timur terjejas – Sabah...

Menara tumbang akibat tanah runtuh, bekalan elektrik Pantai Timur terjejas – Sabah Electricity

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang melanda enam daerah di pantai timur Sabah semalam berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang menyebabkan salah satu menara penghantaran talian 275 kilovolt (kV) Kolopis – Segaliud tumbang berhampiran Kampung Sarapung, Penampang.

Menara penghantaran talian tumbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, insiden yang berlaku pada jam 5.05 petang itu menjejaskan penghantaran tenaga dari pantai barat ke pantai timur, mengakibatkan kira-kira 230,000 pengguna di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Beluran dan Kinabatangan terkesan.

“Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan tanah runtuh dan menumbangkan menara penghantaran berhampiran Pencawang Masuk Utama (PMU) Kolopis yang menjadi laluan utama tenaga dari Kimanis dan Sepanggar ke pantai timur. Akibatnya, berlaku kehilangan kapasiti bekalan sebanyak 242 megawatt,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas, hari ini.

Mohd Yaakob dan pasukan Teknikal Sabah Electricity melawat lokasi terjejas dengan bantuan penerbangan Sabah Air.

Menurutnya, sebaik kejadian dikesan, pasukan teknikal Sabah Elektricity digerakkan dan usaha untuk menghidupkan semula talian dilakukan dua kali namun gagal kerana kerosakan kekal akibat struktur menara runtuh.

Sehubungan dengan itu Mohd Yaakob menjelaskan tiga langkah segera diambil bagi memulihkan bekalan iaitu bypass sementara iaitu dalam tempoh dua hari, litar akan dialihkan bagi menyalurkan bekalan terus dari Kimanis ke Sandakan, pembinaan menara kecemasan (Emergency Restoration System) iaitu pemasangan menara sementara dijangka siap dalam tempoh lapan hari untuk memastikan kestabilan system dan pembinaan menara kekal iaitu penggantian struktur menara yang tumbang akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan.

“Dalam tempoh dua hari pertama, seramai kira-kira 70,000 pengguna di pantai timur akan terlibat dengan penjadualan bekalan secara bergilir (load shedding) terutama ketika waktu puncak. Selepas itu, bekalan akan stabil apabila menara kecemasan beroperasi,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan Sabah Electricity membahagikan sistem grid kepada  ‘Sandakan Island’ dan ‘Tawau Island’ dengan mengaktifkan stesen jana kuasa tempatan, termasuk Independent Power Producer (IPP) di Sandakan dan Tawau, namun kapasiti masih terhad.

Sandakan island termasuk Kinabatangan, Beluran manakala Tawau island melibatkan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Selain itu, bantuan pengangkutan udara dari Sabah Air iaitu sebuah helikopter digunakan bagi meninjau kawasan cerun berisiko tinggi untuk langkah pencegahan susulan.

“Cabaran utama kami adalah faktor geografi, hujan berterusan dan akses jalan terhalang akibat tanah runtuh serta pokok tumbang. Namun, pasukan teknikal tetap berusaha siang malam untuk mempercepatkan kerja pemulihan,” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pengguna yang memahami keadaan kerana gangguan ini berpunca daripada bencana alam yang tidak dapat dielakkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular