Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, berhubung isu sistem matrikulasi negara.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus perlu diraikan dalam dunia akademik.
Bagaimanapun katanya, kebebasan itu perlu disertai dengan rasa tanggungjawab, pertimbangan wajar serta kesedaran terhadap sensitiviti masyarakat termasuk implikasi terhadap dasar awam.
“UMS turut menegaskan bahawa sistem matrikulasi negara telah terbukti memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.
“Sistem ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif, adil dan menyeluruh.
“Dalam konteks negeri Sabah, peranan program Matrikulasi amat signifikan kerana telah membuka ruang yang lebih luas kepada anak-anak negeri ini, khususnya mereka yang datang daripada kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Kasim berkata, melalui laluan matrikulasi ini, ramai pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam, termasuk UMS, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi keluarga dan pembangunan modal insan di negeri ini.
Katanya, UMS kekal komited menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi masa depan dan kemajuan negara. – Chronivo