Kundasang : Program ‘Rural Emergency Disaster Exercise (REDEX) Kinabalu 2025 : High Altitude Rescue’ disifatkan sebagai platform penting dalam menguji kesiapsiagaan pasukan penyelamat menghadapi bencana di kawasan altitud tinggi dan luar bandar.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, latihan berkala besar itu amat signifikan memandangkan negeri ini khususnya kawasan Kundasang dan Ranau, terdedah kepada pelbagai risiko bencana alam.

Katanya, ia termasuklah seperti tanah runtuh, banjir kilat, gempa bumi kecil, serta insiden membabitkan pendaki di Gunung Kinabalu.
“Situasi-situasi sebegini menuntut kesiapsiagaan pasukan penyelamat yang tinggi, berkemahiran, pantas dan cekap.
“Justeru, melalui latihan seumpama ini, kita dapat menguji tahap keupayaan pasukan penyelamat, menilai keberkesanan sistem koordinasi antara agensi, serta mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memperkukuh Pelan Tindakan Kecemasan di peringkat daerah, negeri mahupun nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan REDEX Kinabalu 2025; High Altitude Rescue Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Saba di Dewan Kinabalu Taman Kinabalu di sini pada Jumaat.
Latiha yang dianjurkan JBPM itu turut melibatkan kerjasama erat pelbagai termasuk Polis Diraja Malaysia, Taman-Taman Sabah, Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan, NGO serta komuniti setempat.
Katanya, komitmen dan penyertaan semua pihak ini menggambarkan semangat Whole-of-Government, Whole-of-Society Approach yang kita tekankan dalam pengurusan bencana.
“Kepada semua peserta, saya ucapkan syabas dan tahniah atas kesungguhan, disiplin serta keberanian yang dipamerkan sepanjang latihan.
“Ilmu dan pengalaman yang saudara-saudari perolehi akan menjadi aset yang amat berharga apabila kita berdepan dengan insiden sebenar di lapangan kelak.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus memberikan sokongan padu kepada JBPM dalam meningkatkan keupayaan, kompetensi dan profesionalisme pasukan penyelamat.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin, sama ada di kawasan bandar, luar bandar, pedalaman mahupun di puncak gunung tertinggi negara,” katanya. – Chronivo