HomeUtamaCraft Exotica 2025 dan Bermalam di Muzium kukuhkan warisan budaya Sabah –...

Craft Exotica 2025 dan Bermalam di Muzium kukuhkan warisan budaya Sabah – Christina

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Craft Exotica 2025 dan Bermalam di Muzium membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh warisan budaya serta menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) Datuk Seri Christina Liew berkata, Craft Exotica 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 21 September adalah manifestasi usaha mengangkat seni kraftangan tradisional dan budaya rakyat tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya difahamkan program ini menggabungkan demonstrasi tekstil, sulaman, anyaman, persembahan kebudayaan serta permainan tradisi pelbagai kumpulan etnik di Sabah.

“Penyertaan aktif daripada 40 orang penggiat kraftangan, pelajar dan persatuan etnik jelas menunjukkan warisan budaya kita masih hidup dan terus berkembang,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Kompleks Muzium Sabah, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.

Christina berkata, pelaksanaan program seumpama ini bukan sahaja sebagai tarikan pelancong, malah mampu menjadi sumber ekonomi kepada komuniti luar bandar dan etnik tempatan.

Dalam pada itu beliau berkata, penutupan Program Bermalam di Muzium turut diraikan hari ini, yang mana ia berperanan besar menyemai semangat patriotisme serta jati diri dalam kalangan generasi muda.

“Program ini yang bermula sejak 2005 kini menjadi platform tahunan berimpak tinggi. Tahun ini ia membawa tema ‘Kurator Muda’, bagi memperkenalkan profession kurator sebagai pemelihara warisan negara. Seramai 100 pelajar daripada lima buah sekolah telah menyertai dengan jayanya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah, pihak sekolah serta Akademi Kenegaraan Malaysia yang menjayakan program ini.

Christina berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha menjadikan muzium sebagai pusat pembelajaran terbuka dan inklusif, bukan hanya tempat pameran tetapi ruang dialog, pendidikan, inovasi serta penyambung generasi.

“Usaha seperti Craft Exotica dan Bermalam di Muzium bukan sahaja memperkasa ekonomi kreatif masyarakat tempatan, malah memupuk kesedaran sejarah serta penghargaan terhadap identiti budaya dalam kalangan rakyat,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Shirley Sion dan Timbalan-timbalan Pengarah Muzium Sabah, Aldofus Lester John Millip dan Daus Kubud serta Duta Muzium Sabah yang juga Unduk Ngadau Sabah 2025, Atitih Yati Robert./

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular