HomeUtamaSubsidi Petrol RON95: Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan diminta mohon mulai...

Subsidi Petrol RON95: Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan diminta mohon mulai 15 September ini

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Syarikat-syarikat pengangkutan darat awam dan barangan diingatkan supaya tidak bertangguh membuat permohonan bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95 yang akan dilaksanakan tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendaftaran boleh dibuat mulai Isnin ini, 15 September jam 10 pagi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dibangunkan Kementerian di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

“SKPS dibuka khusus untuk dua kategori iaitu pengangkutan darat awam dan pengangkutan darat barangan. Permohonan perlu dibuat segera kerana apabila mekanisme penyasaran subsidi diumumkan oleh Kementerian Kewangan kelak, hanya mereka yang sudah berdaftar akan dapat memanfaatkannya. Jangan tunggu sampai saat akhir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani Dan Advokasi Kepenggunaan di parkir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Takis di sini, hari ini.

Menurut Armizan, terdapat sembilan jenis kenderaan pengangkutan awam dan 12 jenis kenderaan pengangkutan barangan yang layak menerima subsidi di bawah SKPS.

Beliau menjelaskan, proses permohonan akan disemak secara bersepadu dengan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus membolehkan kelulusan diberikan dalam tempoh singkat.

“Syarikat yang lengkap dokumen boleh mendapat kelulusan dalam masa yang singkat sahaja. Selepas itu, mereka boleh memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan masing-masing antaranya seperti Shell, Petronas atau Petron dan beberapa lagi untuk digunakan di stesen minyak.

“Syarikat juga dibenarkan untuk memilih sehingga maksimum tiga syarikat minyak untuk mengemukakan permohonan Fleet Card daripada stesen minyak pilihan yang telah disenaraikan,” jelasnya.

Armizan turut menegaskan walaupun tarikh pelaksanaan rasmi penyasaran subsidi petrol RON95 akan diumumkan Kementerian Kewangan pada penghujung September ini, pihak industri pengangkutan tidak boleh berlengah membuat permohonan.

“Tarikh akhir permohonan adalah sebelum penyasaran subsidi petrol bermula. Jadi saya ulangi nasihat jangan bertangguh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan SKPS akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, berbeza dengan pelaksanaan terdahulu bagi subsidi diesel yang hanya melibatkan Semenanjung.

Tambahnya, KPDN turut menyediakan talian hotline dari jam 8 pagi hingga 5 petang di talian 03-8882 5893 / 5894 / 5923 / 6667 bagi membantu syarikat sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau masalah sepanjang proses permohonan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular