Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Jika selama ini Petronas dianggap sebagai ‘angsa bertelur emas’ negara, kini Sabah juga mempunyai angsa baharu yang mula produktif mengeluarkan telur emasnya sendiri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, angsa baharu yang dimaksudkan ialah SMJ Energy Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
“Kita tidak runtuhkan Petronas, sebaliknya kita mahu Petronas membantu melahirkan angsa baharu bertelur emas milik Sabah sendiri. Itu hasrat kita selepas lebih 50 tahun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Armizan menjelaskan, titik tolak kerjasama rapat antara Sabah dan Petronas bermula selepas perjumpaan kerajaan negeri bersama kepimpinan tertinggi syarikat minyak nasional itu pada 28 Ogos 2021.
Katanya, delegasi diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika itu menyerahkan dokumen bertulis aspirasi serta tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas, sekali gus mencatat sejarah kerana buat kali pertama Petronas menerima kerangka menyeluruh syor daripada negeri.
“Perjumpaan itu menjadi asas kepada termeterainya Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Sabah dan Petronas pada 7 Disember 2021. Melalui CCA, Sabah mendapat ruang lebih besar untuk bersuara, meningkatkan penyertaan dan berkongsi hasil,” katanya.
Menurut Armizan, kerjasama ini diterjemah melalui beberapa jawatankuasa tetap yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah di peringkat tertinggi.
“Sejak itu Sabah bukan hanya bercakap soal royalti dan cukai jualan, tetapi melangkaui kepada ekuiti dalam pelbagai eksplorasi minyak dan gas serta peluang lebih luas kepada kontraktor tempatan. Kini lebih 1,000 syarikat kontraktor Sabah sudah terlibat,” jelasnya.
Beliau menegaskan, CCA dan penubuhan SMJ Energy membuktikan Sabah kini mempunyai pemilikan lebih bermakna dalam keseluruhan rantaian industri minyak dan gas daripada upstream, midstream hingga downstream.
”Kita menolak dakwaan bahawa apa yang dituntut dan dihasratkan oleh negeri-negeri termasuk Sabah boleh meruntuhkan Petronas yang dianggap angsa yang bertelur emas sebaliknya kita akan terus meningkatkan kerjasama dengan Petronas dengan prinsip Sabah mempunyai greater say, greater participation dan greater revenue sharing,” tegasnya.