Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan dikenakan denda RM2,500 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang wanita.
Mohd Sapri Abdul Rahim, 29, mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Tertuduh melakukan kesalahan itu dengan cara merakam wanita berusia 32 tahun tersebut sedang membuang air tanpa pengetahuannya menggunakan telefon bimbit pada 17 Ogos, jam 6.05 pagi di tandas wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kota Kinabalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pemenjaraan boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes apabila mangsa selesai membuang air di tandas aras dua LTAB, dia ternampak telefon bimbit diarahkan kepadanya daripada bahagian bawah sebelah tandas yang digunakannya.
Mangsa menjerit dan pergi ke arah tandas tersebut. Mangsa telah mengetuk pintu tandas berulang kali sebelum seorang lelaki tidak dikenali keluar.
Mangsa bertanya mengapa dia merakam, namun lelaki tersebut menafikan dan terus melarikan diri.
Mangsa membuat laporan polis kerana bimbang videonya disebarkan.
Tertuduh berjaya ditangkap oleh anggota Balai Polis LTAB KKIA. Hasil siasatan mendapati rakaman mangsa sedang membuang air dijumpai di dalam telefon bimbit tertuduh dan disahkan sendiri oleh mangsa bahawa individu dalam rakaman itu adalah dirinya .
Perbuatan tertuduh telah meninggalkan kesan trauma dan malu terhadap mangsa.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai dua orang anak.
Tertuduh berkata dia menyesali perbuatannya dan memohon maaf atas apa yang berlaku.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh pula memohon hukuman berat kerana terdapat bukti kukuh bahawa tertuduh melakukan kesalahan itu.
Katanya, tindakan tertuduh telah mengaibkan kehormatan mangsa, selain menekankan kepentingan awam.