HomeUtamaPRN17 Sabah: Armizan sah tidak bertanding, harap rakyat Pantai Manis sokong calon...

PRN17 Sabah: Armizan sah tidak bertanding, harap rakyat Pantai Manis sokong calon GRS

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang kerana mahu memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran di peringkat Persekutuan.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, beliau lebih selesa sekiranya kawasan Pantai Manis diwakili oleh seorang wakil rakyat daripada GRS yang boleh bekerjasama rapat dengannya.

“Saya sudah sebut sebelum ini bahawa saya tidak akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana masa saya banyak tertumpu kepada tugasan sebagai menteri persekutuan. Untuk kawasan sekarang pun saya struggle setiap minggu ambil masa.

“Jadi, saya gembira sekiranya ada rakan ADUN di Pantai Manis daripada GRS. Kita boleh bekerjasama, dia ada peranan, saya ada peranan, dan Insya-Allah kita dapat berkhidmat lebih baik untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani Dan Advokasi Kepenggunaan di parkir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Takis di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap masyarakat Pantai Manis memberi peluang kepada calon GRS yang akan diumumkan kelak, tanpa mengira sama ada daripada kalangan belia atau berpengalaman.

“Yang penting bukan muda atau dewasa, tetapi panji-panji GRS yang kita bawa bersandarkan rekod pencapaian lima tahun. GRS telah membuktikan kemampuan mengurus negeri dengan baik, walaupun berdepan cabaran politik,” ujarnya.

Menurut Armizan, rekod GRS jelas menunjukkan keupayaan meningkatkan hasil negeri hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun.

“Ketika kita ambil alih pentadbiran pada 2020, hasil negeri sekitar RM3.5 bilion. Tahun lalu, hasil negeri sudah mencecah RM6.8 bilion, hampir RM7 bilion.

“Adakah itu sudah cukup? Belum. Tetapi ia membuktikan momentum peningkatan hasil wujud dan kita akan terus memacu peningkatan ini untuk pembangunan rakyat sekiranya mandat diberikan,” katanya.

Beliau menegaskan, pentadbiran yang baik perlu diukur daripada keupayaan meningkatkan hasil negeri, bukan hanya retorik atau ucapan berapi-api.

“Rakyat tidak mahu lagi sekadar dengar retorik. Rakyat mahu lihat hasil yang nyata, yang boleh mengubah hidup mereka. Itu tanggungjawab GRS, itu amanah kita,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular