Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Cubaan sindiket menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam operasi pada 11 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, sebuah bot kargo tanpa nombor pendaftaran ditahan pada kedudukan 1.1 batu nautika utara Tanjung Doris. Pemeriksaan lanjut menemukan 95 tong gas LPG tanpa permit sah.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot tersebut dikesan selepas pergerakan mencurigakannya diperhatikan oleh pasukan peronda semasa rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di kawasan sempadan perairan.
“Bot dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 27 tahun bersama dua pembantu berumur 29 dan 25 tahun. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri serta permit barangan kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan 18 tong gas berlabel Petronas, 77 tong gas berlabel MyGas serta 22 gelen kosong dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM52,000.
Ketiga-tiga suspek, bersama bot dan muatan, ditahan sebelum diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen JPDS.
Ariffin berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan dalang sindiket, selain memperketatkan kawalan di jeti-jeti haram serta rondaan waktu malam.
“Maritim Malaysia komited memastikan perairan Tawau bebas daripada aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang merugikan negara,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.