PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Kolopis, di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Balai Bomba Penampang pada jam 6.55 petang, 11 September lalu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam.
“Hasil operasi SAR, mayat mangsa ditemui pada jam 10.40 pagi, 12 September di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang imej atau rakaman video kejadian di media sosial bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
“Orang awam juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan terutama ketika berada di kawasan berisiko tanah runtuh atau ketika cuaca buruk,” katanya.
LINK BERITA TERDAHULU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan rumahnya di Kampung Sarapung, di sini, petang semalam.
https://chronivo.my/2025/09/12/lelaki-warga-emas-hilang-tertimbus-runtuhan-tanah-di-penampang/