KUCHING: Penambahan kerusi Parlimen bagi negeri Sabah menjadi antara isu yang dibangkitkan Kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata mesyuarat tersebut berlangsung dalam suasana mesra yang membuka ruang kepada perbincangan lanjut.
Katanya, Sabah mahu lebih banyak kerusi Parlimen diwujudkan di negeri itu selaras dengan semangat MA63 serta bagi melindungi kepentingan negeri dan rakyatnya.
“Secara prinsipnya, Perdana Menteri bersetuju tetapi perkara ini perlu diperhalusi di peringkat teknikal kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebab itulah hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat penting,” katanya selepas mesyuarat berkenaan di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Jumaat.
MTPMA63 itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isu lain yang turut dibangkitkan ialah cadangan supaya sektor pelancongan disenaraikan dalam senarai bersama yang juga akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk perbincangan lanjut.
Delegasi Sabah terdiri daripada Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Arif, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.
Sementara itu, Hajiji turut mengalu-alukan pelancaran projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion pada hari ini, yang merupakan satu langkah besar dalam memperkukuh hubungan antara dua negeri terbesar di Malaysia itu.
Katanya, projek berkenaan bukan sahaja penting dalam meningkatkan hubungan tanpa sempadan antara Sabah dan Sarawak, malah mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam perdagangan dan pelancongan.
Delegasi Sarawak pula diketuai oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg. – Chronivo