PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan rumahnya di Kampung Sarapung, di sini, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.10 petang Khamis.
“Sebaik pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi, didapati runtuhan tanah telah menimbus sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat.
“Maklumat penduduk setempat memaklumkan terdapat dua mangsa terlibat. Seorang mangsa perempuan berjaya diselamatkan orang awam dan hanya cedera ringan, manakala seorang lelaki berusia 97 tahun masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba berdepan kesukaran untuk ke lokasi berikutan laluan utama dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.
“Pasukan terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer sebelum sampai ke lokasi kejadian. Hasil penilaian mendapati operasi mencari dan menyelamat (SAR) memerlukan penggunaan jentera berat dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD),” jelasnya.
Setakat ini, operasi SAR masih dijalankan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.
Maklumat lanjut berhubung perkembangan operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.