KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mempunyai kelebihan berbanding parti-parti lain meskipun landskap politik negeri ini kekal dinamik.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata, perkara itu adalah berdasarkan kajian awal pra pilihan raya di negeri ini yang dilaksanakan Ilham Centre pada Jun lalu.
Katanya, berdasarkan dapatan kajian, faktor sokongan terhadap GRS dipengaruhi dua elemen utama.
Antaranya kedudukan sebagai parti pemerintah yang menguasai kerajaan, serta personaliti calon di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Politik Sabah mempunyai ciri berbeza berbanding Semenanjung.
“Faktor personaliti calon lebih dominan di setiap DUN berbanding isu rentas negeri,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pengundi muda dilihat bakal menjadi penentu utama pada pilihan raya akan datang.
Tambahnya, kajian menunjukkan hampir 60 peratus daripada jumlah pengundi di beberapa DUN terdiri daripada golongan berusia 18 hingga 40 tahun.
“Segmen ini menyumbang kelompok pengundi atas pagar yang besar. Gagal meyakinkan mereka boleh menjejaskan peluang mana-mana parti untuk mencapai kemenangan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Hisomudin berkata, bagi Parti Warisan, kekuatan utamanya tertumpu di Pantai Timur, tetapi berdepan cabaran menembusi kawasan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Manakala Pakatan Harapan (PH) lebih dominan di kawasan bandar seperti Sandakan dan Kota Kinabalu.
Parti tempatan lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pula kekal berpengaruh di kawasan KDMR, dengan Parti KDM yang diasaskan Datuk Peter Anthony semakin mendapat perhatian, khususnya menerusi peranan ADUN Datuk Wetrom Bahanda.
UMNO pula berdepan laluan sukar berikutan polemik lompat parti dalam kalangan wakil rakyat mereka, selain kegagalan menarik minat pengundi muda yang tidak mengenali UMNO sebagai parti pemerintah.
Secara keseluruhan, laporan kajian merumuskan bahawa GRS masih mendahului dengan kelebihan faktor penyandang dan kekuatan jentera kerajaan, namun persaingan dijangka lebih sengit sekiranya parti-parti lain berjaya menawan undi anak muda serta kelompok atas pagar.