HomeUtamaBas 'KK Hop-On Hop-Off' tawar akses mudah ke 17 lokasi pelancongan

Bas ‘KK Hop-On Hop-Off’ tawar akses mudah ke 17 lokasi pelancongan

Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu: Penduduk dan pelancong kini boleh menikmati pengalaman baharu meneroka Kota Kinabalu menerusi perkhidmatan pelancongan bandar ‘KK Hop-On Hop-Off City Tour Bus’ yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

Dengan konsep ‘naik dan turun sesuka hati’, perkhidmatan ini menjadikan lawatan ke lokasi ikonik sekitar bandaraya lebih mudah, fleksibel dan menyeronokkan.

Laluan bas menghubungkan 17 destinasi menarik meliputi pasar tradisional dan mercu tanda bersejarah selain ke kawasan tepi laut, tempat makan popular dan zon beli-belah.

Perkhidmatan ‘KK Hop-On Hop-Off’ yang menawarkan 17 destinasi pelancongan di Kota Kinabalu – Foto JAPEN SABAH

Pelancaran perkhidmatan bas itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai bagi mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.

Terdahulu, Christina dalam ucapannya, perkhidmatan yang dilancarkan itu meletakkan Kota Kinabalu setaraf dengan bandar-bandar utama dunia seperti London, Paris, dan Kuala Lumpur yang menawarkan perkhidmatan serupa kepada pelawat mereka.

Katanya, inisiatif perkhidmatan itu adalah bagi memberi peluang untuk pengunjung merasai budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan dalam suasana yang mudah serta menyeronokkan.

Joniston bersama tetamu kehormat yang turut sama dalam ‘Tour Bus’ sekitar Kota Kinabalu – Foto JAPEN SABAH

“Kita sudah pun mempunyai tarikan pulau, kampung budaya, keindahan semula jadi dan kini kita menambah pengalaman bandar yang melengkapi semua itu. Ia adalah satu lagi cara untuk memperlihatkan apa yang kita tawarkan.

“Pada masa sama, ia menyumbang kepada mobiliti bandar mampan, mempromosikan pelancongan inklusif dan menyokong ekonomi tempatan. Ini menunjukkan komitmen kita untuk terus meningkatkan mutu, memperbaharui dan menambah baik tawaran pelancongan Kota Kinabalu,” katanya.

Teks ucapan Christina dibacakan Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Phoong Jin Zhe; Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Pengerusi KK Hop-On Hop-Off Datuk Tan Kok Liang.

Christina berkata, pelaksanaan perkhidmatan bas itu juga dilihat tepat dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan rakan kongsi sektor swasta atas pendekatan berani dan inovatif ini.

“Setakat yang saya faham, perkhidmatan ini ditawarkan pada harga berpatutan, mesra pelancong, dan direka untuk dinikmati oleh semua,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular