Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, kerana membuat kenyataan palsu di Facebook terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah berkaitan kes Zara Qairina Mahathir.
Tertuduh, Asmaziah Sedek, 32, mengaku bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 29 Julai 2025 jam lebih kurang 9.21 malam, Asmaziah didapati menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Ash Qiey’, secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Kenyataan palsu tersebut berbunyi: “3 org Tu ank VVIP seorang anak Menteri seorang anak pegawai polis seorang anak pengetua yg dah bersara”. Ini baru 3/6 pelaku. 5 senior 1 junior. Statement Di atas sy kutip Dari satu artikel. Kalau betul mereka dalang kepada kes pembulian selama ini, memang sungguh kebal. Salah seorang Dari mereka juga ahli kerabat tyt Kita. Jika benar, sungguh kejam Permainan mereka. Sabah sedang melindungi PEMBUNUH.
Penghantaran komunikasi tersebut telah dibaca oleh Abdullah Hussin pada 31 Julai 2025, jam lebih kurang 10 pagi di kediaman Yang di-Pertua Negeri, dekat sini.
Asmaziah didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta tersebut. Peruntukan itu menetapkan hukuman denda sehingga RM500, 000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) DK Afiqah Alya AK Johari @ PG Johari dan Nurul Shafeerah Mad Iskim.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan.
“Saya tidak berniat untuk menghasut mana-mana pihak. Apa yang saya muat naik hanyalah luahan emosi sebagai seorang ibu.
“Saya merayu agar hukuman diringankan kerana saya hanyalah seorang suri rumah dan mempunyai seorang bayi berusia lapan bulan yang masih menyusu.
“Harap hukuman saya dapat dipertimbangkan kerana saya tidak mempunyai wang yang mencukupi. Saya datang ke sini (mahkamah) ditemani ibu dan bayi saya. Suami saya baru sahaja mendapat kerja di Tenom,” katanya.
Sementara itu, TPR Afiqah memohon supaya hukuman paling berat dikenakan terhadap tertuduh memandangkan keseriusan kesalahan, kepentingan awam serta kekerapan kes seumpama itu.
Hujahnya, kesalahan siber merupakan kesalahan serius, khususnya dalam kes ini di mana kenyataan palsu telah dibuat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman. Bahan palsu sedemikian boleh disebarkan kepada orang ramai dalam sekelip mata.
“Seperti yang kita sedia maklum, susulan kes inkues Zara Qairina Mahathir baru-baru ini, orang awam telah bangkit dan secara terbuka membanjiri media sosial dengan pelbagai kenyataan palsu dan negatif, tanpa menyemak kesahihan hantaran tersebut dan tanpa memikirkan akibat daripada tindakan mereka.
“Sudah tiba masanya Mahkamah menghentikan perkara ini dan menjadikan kes ini sebagai pengajaran serta memberi amaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Secara ringkas, kami memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara bagi menunjukkan kepada orang awam bahawa Mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan sebegini,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah mendengar bahawa, pengadu membuat laporan polis pada 1 Ogos lalu setelah membaca hantaran dalam aplikasi Whatsapp yang berunsur fitnah terhadap TYT Sabah.
Hasil siasatan mendapati, pautan berkenaan hantaran dalam Whatsapp tersebut dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook “Ash Qiey’ yang menyatakan ahli keluarga TYT, terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar perempuan bernama Zara di sebuah sekolah di Papar.
Pengadu menyatakan hantaran tersebut bersifat fitnah, tidak disokong oleh bukti, dan bertujuan mencemarkan nama baik TYT Sabah serta institusi Istana Negeri Sabah. Hantaran tersebut adalah palsu dan mengganggu kredibiliti TYT Sabah sebagai seorang pemerintah tertinggi di Sabah.
Semakan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook ‘Ash Qiey’ dikendalikan oleh tertuduh. Asmaziah ditahan pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 11.05 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Marudu.
Sebuah telefon bimbit turut dirampas daripada Asmaziah. Hasil analisis Data Preservation oleh Jabatan Forensik SKMM Cyberjaya mengesahkan terdapat kenyataan yang dimuat naik oleh tertuduh pada 29 Julai kira-kira jam 9.21 malam di akaun Facebook ‘Ash Qiey’, berdasarkan “time stamp” dalam dokumen Data Preservation Case Report. –Chronivo