KOTA KINABALU: Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) gagal dalam usahanya untuk membatalkan perintah penggulungan syarikat (winding-up) yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 2021.
Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin (10 September) yang sebulat suara menolak rayuan SFI dengan kos selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh Sabah Development Bank Bhd (SDB).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, terdiri daripada Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr Alwi Abdul Wahab dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters.
“Perayu (SFI) gagal memberikan justifikasi kepada Mahkamah Rayuan mengapa ia lewat hampir dua tahun menyerahkan Notis Rayuan kepada Sabah Development Bank (SDB), selaku pencelah (intervener) dalam rayuan SFI.
“Sehubungan itu, rayuan SFI ditolak,” kata peguam Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad yang mewakili SDB.
Beliau berkata SFI berhutang kepada SDB kira-kira RM120 juta termasuk faedah.
“Pinjaman asal sebanyak RM93 juta yang diberikan pada 2019 di bawah pentadbiran kerajaan Warisan ketika itu.
“Pinjaman tanpa cagaran itu diberikan walaupun SFI ketika itu menanggung hutang kira-kira RM1.5 bilion, berada dalam pengurusan penerima (receivership) dan telah menghentikan operasi sejak 2016.
“Sehingga kini, saya tidak mengetahui sebarang bayaran balik dibuat oleh SFI,” katanya.
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, Fuad berkata sudah tiba masanya aset SFI dilupuskan bagi kepentingan para pemiutang, sebahagian daripada mereka telah dinafikan hak sejak 2017.
Kerajaan negeri juga sebelum ini telah membatalkan konsesi balak milik SFI.
SFI diwakili oleh peguam S. Vanugopal dan J. Marimhuthu.