Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pesara guru besar yang membuat hantaran berbaur ancaman terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Kamul didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Amung Kamaruddin’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam iaitu:
“Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal…bila dia kerja…upah bah…pemandu langgar lari”.
Hantaran itu dibuat dengan niat untuk mengganggu orang lain yang mana penghantaran komunikasi tersebut telah dibaca oleh Dr Jessie Hiu pada 5 September, jam lebih kurang 4.15 petang, dekat sini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta tersebut. Peruntukan itu menetapkan hukuman denda sehingga RM500, 000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin tempatan serta menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes.
Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta larangan mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles dan Eugenie Meredith Gilbert.
Lovely mencadangkan ikat jamin RM20, 000 dengan dua orang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Elhanan James yang mewakili tertuduh bagi tujuan jaminan, memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.
Katanya, tertuduh yang merupakan pesara Guru Besar sebuah sekolah di Semporna telah ditahan sejak 8 September dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
Terdahulu, Kamul mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan, namun menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas mendengar peruntukan hukuman di bawah Seksyen berkenaan.
Pada 6 Sept lalu, dilaporkan bahawa polis telah menerima satu laporan yang dibuat oleh pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu berkaitan dengan ugutan yang dibuat oleh netizen susulan keterangannya selama dua hari (3 dan 4 Sept) dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Semasa inkues itu, Dr Hiu antara lain memberi keterangan bahawa adalah tidak mungkin pelajar berusia 13 tahun itu terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Zara Qairina telah melompat dengan kehendaknya sendiri. – Chronivo