KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, namun kebebasan itu perlu disertai dengan rasa tanggungjawab mematuhi undang-undang.
Beliau berkata prinsip kebebasan tidak boleh disalahgunakan hingga mencetuskan suasana tegang, apatah lagi melibatkan keganasan terhadap pihak berkuasa.
“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang serta penyerang yang bertanggungjawab mencederakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menegaskan, berhimpun secara aman tidak harus dijadikan alat untuk kepentingan politik sempit sehingga mengganggu ketenteraman awam.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” tambahnya.
Sebelum itu, Operasi pengusiran baki penduduk Kampung Sungai Baru menjadi tegang selepas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera dirempuh penduduk.
Dalam kekecohan itu, Suzilme dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka sebelum segera dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian berlaku ketika operasi diketuai bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah dan memotong bekalan eletrik di kawasan berkenaan.