Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Perkara ini didedahkan oleh pengawal keselamatan Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang merupakan saksi ke-6 dalam inkues kematian Zara.
“Setahu saya, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama.
“Tiada juga gril (palang besi) dipasang di koridor bangunan asrama tersebut,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Linah, dia pada 15 Julai 2025, beliau bertugas sebagai pengawal keselamatan bermula jam 8 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya iaitu 16 Julai 2025.
Sekitar jam 2 pagi pada 16 Julai 2025, beliau telah membuat rondaan di asrama perempuan Blok (tempat Zara) dan tiada apa-apa kejadian berlaku.
“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan yang juga asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya.
“Sekitar jam lebih kurang 3 pagi, semasa saya berada di blok asrama bersebelahan, saya telah dimaklum oleh seorang pelajar bahawa ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang asrama blok (tempat Zara).
“Saya terus bergegas ke asrama Blok (tempat Zara) dan melihat seorang
pelajar perempuan yang dikenali dengan nama Zara terlentang di longkang asrama
dalam keadaan tidak sedar diri.
“Saya terus menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari berkenaan kejadian tersebut,” katanya.
Selepas menghubungi Ketua Warden Asrama tersebut, saya mengambil sekeping gambar Zara di dalam keadaan
terlentang di longkang tersebut.
“Selepas Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4 pagi.
“Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk terima rawatan,” katanya.
Menurut Linah, beliau telah bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah di sekolah agama tersebut sejak 1 Julai 2012 sehingga sekarang.