KOTA KINABALU : Jumlah mangsa banjir di daerah Beaufort terus mencatat peningkatan apabila seramai 213 orang daripada 69 keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, lapan kampung terjejas akibat banjir di daerah itu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 40 lelaki dan 70 perempuan dewasa, manakala 55 kanak-kanak lelaki serta 48 kanak-kanak perempuan direkodkan berada di pusat pemindahan.
PPK Selagon mula dibuka sejak 9 September lalu pada jam 9 pagi, bagi menempatkan penduduk yang kediaman mereka terjejas.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan.
Keadaan cuaca yang tidak menentu dan paras air yang masih tinggi menyebabkan angka mangsa dijangka terus berubah dari semasa ke semasa. – Chronivo