KOTA KINABALU: Kenyataan Naib Presiden Bersatu merangkap pemimpin Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang menggelar kerajaan negeri kononnya menghidap “penyakit lima serangkai” disifatkan sebagai retorik politik semata-mata tanpa sebarang solusi untuk rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri tidak menafikan Sabah berdepan cabaran besar khususnya isu air, elektrik dan pembangunan tanah.
Namun, katanya, berbeza dengan pendekatan politik serangan semata-mata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sedang melaksanakan pelan pembangunan nyata melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“SMJ memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas, peluang pekerjaan serta peningkatan hasil negeri. Cabaran yang dihadapi Sabah adalah legasi berpuluh tahun dan tidak akan selesai dengan hanya politik retorik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam berkata, lebih membimbangkan apabila retorik “angkat senjata politik” yang dilaungkan Bersatu menggambarkan budaya politik konfrontasi, seolah-olah mahu menjadikan Sabah gelanggang percubaan kuasa untuk agenda Perikatan Nasional (PN) menuju Putrajaya.
“Malah Ronald sendiri mengakui di Perhimpunan Agung Bersatu bahawa kemenangan di Sabah hanya ‘permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung.’ Ini membuktikan Sabah bukan matlamat perjuangan mereka, tetapi sekadar batu loncatan kuasa,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Presiden Bersatu pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia namun isu asas Sabah seperti kemudahan rakyat, peluang pekerjaan dan pelaksanaan penuh hak MA63 tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Peluang yang ada tidak dimanfaatkan untuk membawa perubahan nyata kepada Sabah. Kini selepas hilang kuasa, Bersatu kembali dengan retorik dan janji baharu yang hanya mengulangi kegagalan lama,” katanya.
Tambah Nizam, PN yang kononnya mahu menjadikan Sabah sebagai “gelanggang pertama” juga sebenarnya rapuh apabila teguran terbuka daripada PAS menunjukkan Bersatu sering membuat keputusan tanpa konsensus.
“Penganalisis politik juga menyebut PN masih ‘mencari pusat graviti.’ Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan ketara?” ujarnya.
Menurutnya, kenyataan seolah-olah Sabah hanya akan dibantu apabila Bersatu kembali menjadi kerajaan adalah tidak berasas kerana hakikatnya kerajaan negeri kini mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan termasuk peruntukan pembangunan, projek infrastruktur serta komitmen pelaksanaan MA63.
“GRS menolak politik ugutan dan dendam. Adakah Ronald lupa pada PRU15 beliau begitu terdesak mahu menjadi calon GRS sehingga sanggup melanggar konsensus dengan Barisan Nasional? Apakah kerana gagal menjadi calon GRS, beliau kini berdendam dengan kepimpinan GRS?” katanya.
Nizam menegaskan rakyat Sabah kini matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya mahu menjadikan Sabah batu loncatan kuasa ke Putrajaya.
“GRS kekal fokus membawa kestabilan, konsistensi dan pembangunan untuk semua rakyat Sabah,” tegasnya.